Translate

Saturday 24 November 2012

KESALAHAN PENGGUNAAN TATABAHASA


KESALAHAN PENGGUNAAN TATABAHASA OLEH MURID
DI DALAM BILIK DARJAH
1.     KESALAHAN DALAM PENGGUNAAN KATA GANTI DIRI
                Kata ganti diri ialah kata yang digunakan untuk menggantikan nama seseorang. Kata ganti diri terbahagi kepada tiga,  iaitu diri orang pertama, diri orang kedua dan diri orang ketiga.
Contoh :
(a) kata ganti diri orang pertama: saya, aku, beta, daku, patik, kami, kita, dan hamba.
(b) Kata ganti diri orang kedua : anda, engkau, awak, kamu, kalian, tuanku, dan dikau.
(c) Kata ganti diri orang ketiga : ia, dia, mereka, baginda, beliau, dan -nya.

Di antara kata-kata ganti diri ini, ada yang membawa maksud tunggal (satu) dan ada yang membawa maksud jamak (lebih daripada satu). Setiap kata ganti diri mempunyai tugas atau fungsi yang berlainan.

1.1          Contoh Kesalahan.
Beliau yang mencuri kasut saya. (salah)
Dia yang mencuri kasut saya. (betul)

Analisis :
Kata beliau hanya boleh digunakan khusus untuk orang yang dihormati seperti ibu bapa, guru, pegawai, menteri dan sebagainya.

1.2          Contoh Kesalahan.
Mereka-mereka adalah pelajar sekolah saya. (salah)
Mereka adalah pelajar sekolah saya. (betul)

Analisis :
Kata ganti diri ketiga mereka sudah menyatakan pengertian jamak. Oleh itu tidak sesuai kata mereka dijamakkan lagi menjadi mereka-mereka.

1.3          Contoh Kesalahan.
Kami hendaklah sentiasa mendengar nasihat yang baik,” pesan nenek Zainab kepada cucu-cucunya. (salah)
Kita hendaklah sentiasa mendengar nasihat yang baik,” pesan nenek Zainab kepada cucu-cucunya. (betul)

Analisis :
Kami bererti “saya dan dia” apabila bercakap dengan orang kedua. Orang yang kita ajak bercakap tidak disertakan. Kita pula bererti “anda dengan saya” atau “anda dengan kami”. Orang yang kita ajak bercakap disertakan.

2.     KESALAHAN DALAM PENGGUNAAN KATA SENDI
          Kata sendi ialah kata yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi bertugas untuk menghubungkan frasa nama dengan kata-kata atau frasa-frasa lain dalam ayat. Contoh kata sendi ialah akan, antara, dalam, dari, daripada, demi, dengan, di, sampai, ke kepada, oleh, pada, sejak, seperti.

2.1          Contoh Kesalahan
Dia terjaga oleh kerana kokokan ayam jantan pada awal pagi. (salah)
Dia terjaga oleh sebab kokokan ayam jantan pada awal pagi. (betul)

Analisis :
Kata sendi memerlukan frasa nama sebagai objek untuk membentuk frasa sendi. Kata kerana yang tergolong dalam kelas kata hubung tidak boleh diletakkan selepas kata sendi oleh. Jadi gunakan frasa nama sebab.

2.2          Contoh Kesalahan.
Dia berlari daripada rumah ke sekolah. (salah)
Dia berlari dari rumah ke sekolah. (betul)

Analisis :
Kata sendi dari digunakan dalam hal yang ada hubungan dengan masa, tempat dan arah manakala kata sendi daripada digunakan untuk hal-hal yang lebih umum, seperti untuk orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak, pertentangan dan menunjukkan keanggotaan.

2.3          Contoh Kesalahan.
Cawan itu dihempaskannya kepada lantai. (salah)
Cawan itu dihempaskannya ke lantai. (betul)
Analisis :
Kata sendi ke digunakan untuk tempat, masa, dan benda konkrit yang tidak bernyawa, sementara kepada digunakan untuk benda bernyawa dan benda abstrak kecuali masa.                                                                                                                  

3.     KESALAHAN DALAM PENGGUNAAN KATA HUBUNG
          Kata hubung ialah kata yang digunakan untuk menghubungkan kata dengan kata, frasa dengan frasa, atau klausa dengan klausa dalam ayat gabungan atau ayat pancangan. Kata hubung digunakan untuk menggabungkan ayat dengan perkataan sehingga menjadi ayat berlapis yang dikenali sebagai ayat majmuk. Kata hubung terbahagi kepada tiga, kata hubungan gabungan (atau, dan, lalu, kecuali, malahan), kata hubung pancangan (yang, bahawa, untuk, kerana, agar, apabila), kata hubung berpasangan (bagaimana…begitulah, baik….mahupun, entah…entah, sungguhpun…tetapi)

3.1          Contoh Kesalahan
Aisyah menangis bila mendengar berita itu. (salah )
Aisyah menangis apabila mendengar berita itu. (betul )

Analisis :
Kata bila merupakan kata tanya. Gunakan kata hubung apabila.

3.2          Contoh kesalahan
Dia lambat ke sekolah sebab ketinggalan bas. (salah)
Dia lambat ke sekolah kerana ketinggalan bas. (betul)

Analisis :
Kata sebab tergolong dalam kelas kata nama dan oleh itu tidak sepatutnya digunakan sebagai kata hubung. Kata hubung yang sesuai ialah kerana. Jika kata sebab hendak anda gunakan, maka kata itu perlu disertai kata sendi oleh, lalu menjadi frasa sendi oleh sebab.

4.     KESALAHAN DALAM PENGGUNAAN KATA KERJA
          Kata kerja ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan perbuatan yang dilakukan oleh orang, binatang dan benda. Kata kerja terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif.

Contoh Kesalahan.
1.       Emak menghadiahi seutas jam tangan kepada Ali. (salah)
        Emak menghadiahi Ali seutas jam tangan. (betul)

2.       Emak menghadiahkan Ali seutas jam tangan (salah)
  Emak menghadiahkan seutas jam tangan kepada Ali (betul)

Analisis :
Kata kerja transitif men…i diikuti oleh manusia, kumpulan manusia atau haiwan.
Kata kerja transitif men…kan diikuti oleh objek atau benda.

5.     KESALAHAN PENGGUNAAN KATA BILANGAN
Kata bilangan ialah kata yang menjadi penerang jumlah pada frasa nama. Kata bilangan digunakan untuk menghitung sesuatu. Kata bilangan terbahagi kepada tujuh jenis iaitu :

(a) Kata bilangan tentu seperti dua, tiga, seratus, seribu dan sebagainya.
(b) Kata bilangan tak tentu seperti beberapa, para, segala, semua dan sebagainya.
(c) Kata bilangan pisahan seperti setiap dan tiap-tiap.
(d) Kata bilangan pecahan seperti suku, setengah, tiga perlima dan sebagainya.
(e) Kata bilangan himpunan seperti berbagai-bagai, berjenis-jenis, kedua-dua, berpuluh-puluh dan sebagainya.
(f) Kata bilangan tingkat seperti pertama, kedua, ketiga, keempat dan sebagainya.
(g) Kata bilangan tanya iaitu berapa.

5.1          Contoh Kesalahan.

Berbagai jenis makanan terhidang di atas meja itu. (salah)
Berbagai-bagai (atau Pelbagai) jenis makanan terhidang di atas meja itu. (betul)

Analisis :
Kata bilangan berbagai tidak sempurna bentuknya. Gunakan berbagai-bagai atau pelbagai.

5.2          Contoh Kesalahan.

Setengah orang masih tidak memahami Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu. (salah)
Setengah-setengah (atau Sesetengah) orang masih tidak memahami Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu. (betul)

Analisis :
Kata bilangan setengah tidak boleh disingkatkan kerana maknanya separuh atau seperdua.

6.     KESALAHAN PENGGUNAAN PENJODOH BILANGAN
          Penjodoh bilangan ialah kata yang digunakan bersama-sama dengan kata bilangan untuk kata nama atau benda konkrit. Walau bagaimanapun, penjodoh bilangan tidak perlu digunakan bersama-sama dengan kata bilangan yang tertentu seperti para, segala, sekalian, semua, sebahagian, setengah, dan sebilangan. Penjodoh bilangan tidak diperlukan untuk menghitung kata nama abstrak.

6.1          Contoh Kesalahan

Atlit itu mempunyai sebuah cita-cita untuk mendapat pingat emas. (salah)
Atlit itu mempunyai cita-cita untuk mendapat pingat emas. (betul)

Analisis :
Penjodoh bilangan hanya boleh digunakan bersama-sama dengan kata bilangan konkrit.        

6.2          Contoh Kesalahan.

Setiap orang warga negara perlu menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara. (salah)
Setiap warga negara perlu menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara. (betul)

Analisis :
Penjodoh bilangan hanya boleh digunakan bersama-sama dengan kata bilangan konkrit.

4 comments:

  1. Penggunaan kata-kata ringkas dalam sms, facebook, twitter dan sebagainya, memberi sedikit sebanyak kesan kepada kecelaruan bahasa yang timbul.

    ReplyDelete
  2. Banyaknya info,tahniah,boleh gunakan untuk p n p tahun depan,halalkan ok,tahniah juga kerana telah berjaya mencipta blog yang menarik,kemahiran It yang amat berguna untuk kita pada era teknologi ini.Miss u.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih kerana perkongsian ilmu. Tahniah blog yg penuh info dan ceria.

    ReplyDelete
  4. Untuk pingat Kita Guna penjodoh bilangan apa?

    ReplyDelete