Translate

Saturday 24 November 2012

KESALAHAN DARI SEGI PERBENDAHARAAN KATA


KESALAHAN DARI SEGI PERBENDAHARAN KATA
Kesalahan umum tatabahasa dari segi penggunaan kata biasanya terjadi kerana kesalahan ejaan. Hal ini demikian kerana dalam bahasa Melayu, ada beberapa kata yang seakan-akan sama ejaannya tetapi mempunyai makna yang berlainan. Selain itu, ada pula kata yang sesuai dan tepat digunakan hanya dalam konteks ayat yang tertentu saja dengan berdasarkan makna kata tersebut.
Senarai Kata yang Sering Disalahgunakan

Adakah dan Apakah

Kedua-dua kata tersebut adalah kata tanya. Kata adakah digunakan untuk mendapat jawapan ya atau tidak. Kata apakah digunakan untuk mendapat jawapan nama binatang, nama benda, keterangan tentang sesuatu (seperti sebab) dan untuk menanyakan sesuatu yang tidak khusus.

Contoh :
a) Adakah benar cerita Ramhuzaimi itu ?
b) Adakah dia datang semalam ?
c) Adakah betul jawapan itu ?
d) Adakah saudara bermimpi ?
e) Apakah binatang yang berleher panjang itu ?
f) Apakah sebab berlakunya kegawatan ekonomi ?
g) Apakah judul buku yang baru kamu beli itu ?


Ahli dan Anggota

Kata ahli bererti orang yang mahir atau faham benar dalam sesuatu bidang. ( ahli bahasa, ahli politik, dan lain-lain lagi). Kata anggota pula bererti bahagian tubuh dan orang yang masuk dalam sesuatu kumpulan atau golongan.
Contoh;
a) Mereka sangat ahli dalam bidang pembedahan.
b) Prof. Dr. Abdullah Hassan dan Prof. Dr. Nik Safiah boleh digolongkan sebagai ahli bahasa.
c) Anggota badanku lemah sekali hari ini.
d) Saya sudah menjadi anggota Persatuan Bulan Sabit Merah.


Boleh dan Dapat

Kata boleh lebih sesuai digunakan dalam hubungan dengan keizinan. Kata dapat pula lebih sesuai digunakan dalam hubungan dengan keupayaan atau kemampuan.
Contoh

a) Saya tidak boleh masuk ke stadium kerana tiket sudah habis terjual.
b) Saya tidak dapat memanjat pokok kelapa itu kerana pokok itu sangat tinggi.
c) Asif Pahmi baru berumur lima belas tahun, tetapi sudah dapat memandu kereta.
d) Walaupun adik saya sudah dapat memandu kereta, tetapi ia belum boleh memandu kereta di jalan raya kerana lesen memandu hanya boleh diberikan kepada orang yang berumur sekurang-kurangnya lapan belas tahun.
e) Walaupun sudah tua, Pak Omar dapat mendaki gunung Kinabalu itu.
f) Orang yang berumur lebih daripada lima puluh lima tahun tidak boleh menyertai pertandingan bola sepak itu.


Ialah dan Adalah

Penggunaan kata pemeri ialah secara persamaan atau ekuatif hadir di hadapan frasa nama. Penggunaan kata pemeri adalah secara huraian atau kualitatif hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Contoh :
a) Bandar Shah Alam ialah ibu negeri Selangor.
b) Abdullah Munsyi ialah pengarang buku Hikayat Abdullah.
c) Berita yang dilaporkan oleh pegawai itu adalah benar.
d) Hadiah yang disumbangkan oleh bank tempatan itu adalah untuk murid yang cemerlang dalam pelajaran.


Golong dan Gulung

Golong bererti membahagi-bahagi dalam beberapa kumpulan
Gulung bererti barang yang berhelai-helai atau berutas-utas yang berbentuk panjang bulat sebagai akibat digulung.

Contoh :
a) Sudah menjadi kebiasaan Pak Zihan menggulung rokok daun nipah sebelum tidur.
b) Golongan petani sering tertindas.
c) Mereka tergolong dalam orang yang bernasib baik.
d) Tikar mengkuang itu digulungnya dengan berhati-hati.

11 comments:

  1. Terima Kasih cikgu, membaca penerangan ini saya dapat membezakan kedua dua perkataan tersebut.

    ReplyDelete
  2. Penerangan yang cukup baik dan jelas.Blog cikgu memang akan memanfaatkan murid-murid kerana maklumat yang disediakan oleh cikgu amat berguna.Tahniah cikgu:)

    ReplyDelete
  3. maklumat yang jelas dan lengkap.

    ReplyDelete
  4. Info yang jelas penerangannya, syabas! ^^

    ReplyDelete
  5. Syabas, isi kandungan blog cikgu sangat mantap.

    ReplyDelete
  6. Assalammualaikum wbt.
    Tahniah cikgu. Perkongsian ilmu yang amat berguna buat anak didik dan guru-guru jua. Terima kasih cikgu. Sudilah berkunjung ke blog saya di http://cikgurohanimu.blogspot.com :) .Terima kasih cikgu.

    ReplyDelete
  7. Terima kasih kerana berkongsi ilmu yang sangat berguna..mudah dilhat..cukup jelas

    ReplyDelete
  8. penerangan yang jelas.. terima kasih kerana berkongsi maklumat ini kepada kita semua...

    ReplyDelete