Translate

Saturday 24 November 2012

KESALAHAN DARI SEGI PERBENDAHARAAN KATA


KESALAHAN DARI SEGI PERBENDAHARAN KATA
Kesalahan umum tatabahasa dari segi penggunaan kata biasanya terjadi kerana kesalahan ejaan. Hal ini demikian kerana dalam bahasa Melayu, ada beberapa kata yang seakan-akan sama ejaannya tetapi mempunyai makna yang berlainan. Selain itu, ada pula kata yang sesuai dan tepat digunakan hanya dalam konteks ayat yang tertentu saja dengan berdasarkan makna kata tersebut.
Senarai Kata yang Sering Disalahgunakan

Adakah dan Apakah

Kedua-dua kata tersebut adalah kata tanya. Kata adakah digunakan untuk mendapat jawapan ya atau tidak. Kata apakah digunakan untuk mendapat jawapan nama binatang, nama benda, keterangan tentang sesuatu (seperti sebab) dan untuk menanyakan sesuatu yang tidak khusus.

Contoh :
a) Adakah benar cerita Ramhuzaimi itu ?
b) Adakah dia datang semalam ?
c) Adakah betul jawapan itu ?
d) Adakah saudara bermimpi ?
e) Apakah binatang yang berleher panjang itu ?
f) Apakah sebab berlakunya kegawatan ekonomi ?
g) Apakah judul buku yang baru kamu beli itu ?


Ahli dan Anggota

Kata ahli bererti orang yang mahir atau faham benar dalam sesuatu bidang. ( ahli bahasa, ahli politik, dan lain-lain lagi). Kata anggota pula bererti bahagian tubuh dan orang yang masuk dalam sesuatu kumpulan atau golongan.
Contoh;
a) Mereka sangat ahli dalam bidang pembedahan.
b) Prof. Dr. Abdullah Hassan dan Prof. Dr. Nik Safiah boleh digolongkan sebagai ahli bahasa.
c) Anggota badanku lemah sekali hari ini.
d) Saya sudah menjadi anggota Persatuan Bulan Sabit Merah.


Boleh dan Dapat

Kata boleh lebih sesuai digunakan dalam hubungan dengan keizinan. Kata dapat pula lebih sesuai digunakan dalam hubungan dengan keupayaan atau kemampuan.
Contoh

a) Saya tidak boleh masuk ke stadium kerana tiket sudah habis terjual.
b) Saya tidak dapat memanjat pokok kelapa itu kerana pokok itu sangat tinggi.
c) Asif Pahmi baru berumur lima belas tahun, tetapi sudah dapat memandu kereta.
d) Walaupun adik saya sudah dapat memandu kereta, tetapi ia belum boleh memandu kereta di jalan raya kerana lesen memandu hanya boleh diberikan kepada orang yang berumur sekurang-kurangnya lapan belas tahun.
e) Walaupun sudah tua, Pak Omar dapat mendaki gunung Kinabalu itu.
f) Orang yang berumur lebih daripada lima puluh lima tahun tidak boleh menyertai pertandingan bola sepak itu.


Ialah dan Adalah

Penggunaan kata pemeri ialah secara persamaan atau ekuatif hadir di hadapan frasa nama. Penggunaan kata pemeri adalah secara huraian atau kualitatif hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Contoh :
a) Bandar Shah Alam ialah ibu negeri Selangor.
b) Abdullah Munsyi ialah pengarang buku Hikayat Abdullah.
c) Berita yang dilaporkan oleh pegawai itu adalah benar.
d) Hadiah yang disumbangkan oleh bank tempatan itu adalah untuk murid yang cemerlang dalam pelajaran.


Golong dan Gulung

Golong bererti membahagi-bahagi dalam beberapa kumpulan
Gulung bererti barang yang berhelai-helai atau berutas-utas yang berbentuk panjang bulat sebagai akibat digulung.

Contoh :
a) Sudah menjadi kebiasaan Pak Zihan menggulung rokok daun nipah sebelum tidur.
b) Golongan petani sering tertindas.
c) Mereka tergolong dalam orang yang bernasib baik.
d) Tikar mengkuang itu digulungnya dengan berhati-hati.

KESALAHAN PENGGUNAAN TATABAHASA


KESALAHAN PENGGUNAAN TATABAHASA OLEH MURID
DI DALAM BILIK DARJAH
1.     KESALAHAN DALAM PENGGUNAAN KATA GANTI DIRI
                Kata ganti diri ialah kata yang digunakan untuk menggantikan nama seseorang. Kata ganti diri terbahagi kepada tiga,  iaitu diri orang pertama, diri orang kedua dan diri orang ketiga.
Contoh :
(a) kata ganti diri orang pertama: saya, aku, beta, daku, patik, kami, kita, dan hamba.
(b) Kata ganti diri orang kedua : anda, engkau, awak, kamu, kalian, tuanku, dan dikau.
(c) Kata ganti diri orang ketiga : ia, dia, mereka, baginda, beliau, dan -nya.

Di antara kata-kata ganti diri ini, ada yang membawa maksud tunggal (satu) dan ada yang membawa maksud jamak (lebih daripada satu). Setiap kata ganti diri mempunyai tugas atau fungsi yang berlainan.

1.1          Contoh Kesalahan.
Beliau yang mencuri kasut saya. (salah)
Dia yang mencuri kasut saya. (betul)

Analisis :
Kata beliau hanya boleh digunakan khusus untuk orang yang dihormati seperti ibu bapa, guru, pegawai, menteri dan sebagainya.

1.2          Contoh Kesalahan.
Mereka-mereka adalah pelajar sekolah saya. (salah)
Mereka adalah pelajar sekolah saya. (betul)

Analisis :
Kata ganti diri ketiga mereka sudah menyatakan pengertian jamak. Oleh itu tidak sesuai kata mereka dijamakkan lagi menjadi mereka-mereka.

1.3          Contoh Kesalahan.
Kami hendaklah sentiasa mendengar nasihat yang baik,” pesan nenek Zainab kepada cucu-cucunya. (salah)
Kita hendaklah sentiasa mendengar nasihat yang baik,” pesan nenek Zainab kepada cucu-cucunya. (betul)

Analisis :
Kami bererti “saya dan dia” apabila bercakap dengan orang kedua. Orang yang kita ajak bercakap tidak disertakan. Kita pula bererti “anda dengan saya” atau “anda dengan kami”. Orang yang kita ajak bercakap disertakan.

2.     KESALAHAN DALAM PENGGUNAAN KATA SENDI
          Kata sendi ialah kata yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi bertugas untuk menghubungkan frasa nama dengan kata-kata atau frasa-frasa lain dalam ayat. Contoh kata sendi ialah akan, antara, dalam, dari, daripada, demi, dengan, di, sampai, ke kepada, oleh, pada, sejak, seperti.

2.1          Contoh Kesalahan
Dia terjaga oleh kerana kokokan ayam jantan pada awal pagi. (salah)
Dia terjaga oleh sebab kokokan ayam jantan pada awal pagi. (betul)

Analisis :
Kata sendi memerlukan frasa nama sebagai objek untuk membentuk frasa sendi. Kata kerana yang tergolong dalam kelas kata hubung tidak boleh diletakkan selepas kata sendi oleh. Jadi gunakan frasa nama sebab.

2.2          Contoh Kesalahan.
Dia berlari daripada rumah ke sekolah. (salah)
Dia berlari dari rumah ke sekolah. (betul)

Analisis :
Kata sendi dari digunakan dalam hal yang ada hubungan dengan masa, tempat dan arah manakala kata sendi daripada digunakan untuk hal-hal yang lebih umum, seperti untuk orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak, pertentangan dan menunjukkan keanggotaan.

2.3          Contoh Kesalahan.
Cawan itu dihempaskannya kepada lantai. (salah)
Cawan itu dihempaskannya ke lantai. (betul)
Analisis :
Kata sendi ke digunakan untuk tempat, masa, dan benda konkrit yang tidak bernyawa, sementara kepada digunakan untuk benda bernyawa dan benda abstrak kecuali masa.                                                                                                                  

3.     KESALAHAN DALAM PENGGUNAAN KATA HUBUNG
          Kata hubung ialah kata yang digunakan untuk menghubungkan kata dengan kata, frasa dengan frasa, atau klausa dengan klausa dalam ayat gabungan atau ayat pancangan. Kata hubung digunakan untuk menggabungkan ayat dengan perkataan sehingga menjadi ayat berlapis yang dikenali sebagai ayat majmuk. Kata hubung terbahagi kepada tiga, kata hubungan gabungan (atau, dan, lalu, kecuali, malahan), kata hubung pancangan (yang, bahawa, untuk, kerana, agar, apabila), kata hubung berpasangan (bagaimana…begitulah, baik….mahupun, entah…entah, sungguhpun…tetapi)

3.1          Contoh Kesalahan
Aisyah menangis bila mendengar berita itu. (salah )
Aisyah menangis apabila mendengar berita itu. (betul )

Analisis :
Kata bila merupakan kata tanya. Gunakan kata hubung apabila.

3.2          Contoh kesalahan
Dia lambat ke sekolah sebab ketinggalan bas. (salah)
Dia lambat ke sekolah kerana ketinggalan bas. (betul)

Analisis :
Kata sebab tergolong dalam kelas kata nama dan oleh itu tidak sepatutnya digunakan sebagai kata hubung. Kata hubung yang sesuai ialah kerana. Jika kata sebab hendak anda gunakan, maka kata itu perlu disertai kata sendi oleh, lalu menjadi frasa sendi oleh sebab.

4.     KESALAHAN DALAM PENGGUNAAN KATA KERJA
          Kata kerja ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan perbuatan yang dilakukan oleh orang, binatang dan benda. Kata kerja terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif.

Contoh Kesalahan.
1.       Emak menghadiahi seutas jam tangan kepada Ali. (salah)
        Emak menghadiahi Ali seutas jam tangan. (betul)

2.       Emak menghadiahkan Ali seutas jam tangan (salah)
  Emak menghadiahkan seutas jam tangan kepada Ali (betul)

Analisis :
Kata kerja transitif men…i diikuti oleh manusia, kumpulan manusia atau haiwan.
Kata kerja transitif men…kan diikuti oleh objek atau benda.

5.     KESALAHAN PENGGUNAAN KATA BILANGAN
Kata bilangan ialah kata yang menjadi penerang jumlah pada frasa nama. Kata bilangan digunakan untuk menghitung sesuatu. Kata bilangan terbahagi kepada tujuh jenis iaitu :

(a) Kata bilangan tentu seperti dua, tiga, seratus, seribu dan sebagainya.
(b) Kata bilangan tak tentu seperti beberapa, para, segala, semua dan sebagainya.
(c) Kata bilangan pisahan seperti setiap dan tiap-tiap.
(d) Kata bilangan pecahan seperti suku, setengah, tiga perlima dan sebagainya.
(e) Kata bilangan himpunan seperti berbagai-bagai, berjenis-jenis, kedua-dua, berpuluh-puluh dan sebagainya.
(f) Kata bilangan tingkat seperti pertama, kedua, ketiga, keempat dan sebagainya.
(g) Kata bilangan tanya iaitu berapa.

5.1          Contoh Kesalahan.

Berbagai jenis makanan terhidang di atas meja itu. (salah)
Berbagai-bagai (atau Pelbagai) jenis makanan terhidang di atas meja itu. (betul)

Analisis :
Kata bilangan berbagai tidak sempurna bentuknya. Gunakan berbagai-bagai atau pelbagai.

5.2          Contoh Kesalahan.

Setengah orang masih tidak memahami Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu. (salah)
Setengah-setengah (atau Sesetengah) orang masih tidak memahami Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu. (betul)

Analisis :
Kata bilangan setengah tidak boleh disingkatkan kerana maknanya separuh atau seperdua.

6.     KESALAHAN PENGGUNAAN PENJODOH BILANGAN
          Penjodoh bilangan ialah kata yang digunakan bersama-sama dengan kata bilangan untuk kata nama atau benda konkrit. Walau bagaimanapun, penjodoh bilangan tidak perlu digunakan bersama-sama dengan kata bilangan yang tertentu seperti para, segala, sekalian, semua, sebahagian, setengah, dan sebilangan. Penjodoh bilangan tidak diperlukan untuk menghitung kata nama abstrak.

6.1          Contoh Kesalahan

Atlit itu mempunyai sebuah cita-cita untuk mendapat pingat emas. (salah)
Atlit itu mempunyai cita-cita untuk mendapat pingat emas. (betul)

Analisis :
Penjodoh bilangan hanya boleh digunakan bersama-sama dengan kata bilangan konkrit.        

6.2          Contoh Kesalahan.

Setiap orang warga negara perlu menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara. (salah)
Setiap warga negara perlu menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara. (betul)

Analisis :
Penjodoh bilangan hanya boleh digunakan bersama-sama dengan kata bilangan konkrit.

Tuesday 20 November 2012

KEKELIRUAN EJAAN



KEKELIRUAN EJAAN

Berikut disenaraikan beberapa keliruan ejaan yang sering timbul di kalangan pelajar.

BIL
KEKELIRUAN EJAAN
PEJELASAN

1

Agung dan agong

Dalam Bahasa Melayu, mengikut hukum keselarasan vocal ‘a’ akan berpasangan dengan vocal ‘u’ (a-u). Oleh itu, kata ini sepatutnya dieja ‘agung’, contohnya mesyuarat agung, seniman agung, tetapi ada kekecualian hanya untuk Yang di-Pertuan Agong yang menggunakan vocal ‘o’ untuk kata agong

2

Bandarraya atau Bandar raya
Dalam bahasa Melayu, kata Bandar dan raya boleh berdiri sendiri dan masing-masing mempunyai makna. Jadi, ejaan yang tepat ialah Bandar raya.
Bandar raya ialah sebuah Bandar yang besar lagi penting yang biasanya mempunyai penduduk seramai sejuta orang atau lebih.
Kata nama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ialah contoh penggunaan ejaan yang salah tetapi telah berdaftar secara sah.


3

Bumiputera atau bumiputra

Kata yang tepat untuk makna peribumi atau anak negeri ialah bumiputera.  Kata bumiputra pada kata nama Bank Bumiputra Commerce ialah contoh penggunaan ejaan yang salah. Walau bagaimanapun ejaan nama bank tersebut tidak boleh diubah kerana telah
Berdaftar secara sah.


4

Dialog atau dialog


Ejaan yang tepat ialah dialog iaitu kata serapan daripada bahasa Inggeris (dialogue) Cara penyebutannya adalah dengan mengikut bunyi huruf bahasa Melayu


5

Diari dan dairi

Kata diari ialah serapan daripada bahasa Inggeris (diary). Apabila diserap ke dalam bahasa Melayu, hurup akhir ‘y’ ditukar menjadi ‘i’. Bunyi sebutan perkataan tersebut juga mengikut bunyi huruf bahasa Melayu

6

Istirehat atau istirahat

Ejaan yang tepat ialah istirahat. Kata tersebut ialah kata serapan daripada bahasa Arab. Istirahat bermaksud rehat.


7

Juruukur atau juru ukur

Kata juru bermakna orang yang mempunyai keahlian dalam sesuatu perkara atau ahli. Oleh sebab kata juru tidak boleh berdiri dengan sendiri , kata tersebut dieja bercantum dengan kata yang mengikutinya. Jadi ejaan yang tepat ialah juruukur. Contoh-contoh lain, jurumasak, jurusolek, juruaudit dan juruelektrik.


8

Mengkagumkan atau mengagumkan

Kata tersebut berasal daripada kata dasar kagum dan menerima apitan meN-….-kan. Dalam bahasa Melayu, kata dasar yang diawali dengan huruf ‘k’, akan berubah apabila menerima apitan meN-…-kan.  Jadi, ejaan yang tepat ialah mengagumkan. Contoh-contoh lain, mengayakan, mengemaskan dan mengendalikan


9

Memastikan atau mempastikan

Dalam bahasa Melayu kata dasar tertentu yang diawali dengan huruf k, p, t, dan s, akan berubah apabila mendapat apitan meN-…kan kecuali untuk kata pinjaman. Jadi, kata dasar pasti, akan menerbitkan kata mengurniakan, memeningkan, menunjukkan dan menyembunyikan


10

Perabot dan laporan
Atau
Perabut dan lapuran



Ejaan yang tepat ialah perabot dan laporan kerana kata tersebut ialah kata pinjaman daripada bahasa Indonesia. Oleh sebab itu, ejaannya tidak mengikut keselarasan vokal bahasa Melayu, iaitu ‘a-u’.


11

Ramadhan atau Ramadan

Ejaan yang tepat ialah Ramadan, iaitu kata yang berasal daripada bahasa Arab.
Ramadan – Bulan kesembilan dalam tahun Hijrah

12

Sesi atau Sessi dan
Misi atau missi

Sesi dan misi ialah ejaan yang tepat dalam bahasa melayu kerana tergolong dalam kata serapan daripada bahasa Inggeris, iaitu session dan mission. Apabila diserap ke dalam bahasa Melayu, satu ‘s’ digugurkan dan suku kata akhir ‘sion’ diubah menjadi ‘si’ bagi kedua-dua kata tersebut.


13

Tengahhari atau tengah hari

Kata tersebut berasal daripada dua kata iaitu tengah dan hari. Jadi, ejaan yang tepat ialah tengah hari kerana kedua-dua kata tersebut boleh berdiri sendiri. Contoh-contoh lain , tengah malam, tengah hujan dan tengah padang.