MASALAH TATABAHASA
1.
Adakah panggilan dalam teks ucapan ditulis dengan huruf besar?
Contohnya:
Tuan pengerusi majlis, yang berusaha guru besar,
guru- guru dan rakan-rakan
sekalian…
Jawapan
Menurut peraturannya, kata nama am tidak
dieja dengan huruf besar (huruf pertamanya). Jadi, “Tuan pengerusi majlis, yang
berusaha guru besar, guru-guru dan rakan-rakan” sepatutnya ditulis dengan huruf
kecil. Walau bagaimanapun, dalam teks ucapan, tuan pengerusi majlis dan yang
berusaha guru besar boleh ditulis dengan huruf besar (pada pangkalnya
sahaja) kerana kata tersebut dijadikan panggilan khas untuk merujuk orang
tertentu yang berada dalam sesuatu majlis. Maka, huruf besar boleh digunakan
seperti dalam nama khas untuk kata Tuan Pengerusi Majlis dan Yang Berusaha Guru
Besar, kecuali untuk kata guru-guru dan rakan-rakan kerana kata tersebut
ditujukan secara umum kepada yang hadir dalam majlis tersebut.
2.
Adakah tanda koma perlu wujud di hadapan perkataan dan bagi
menjelaskan perkara yang lebih daripada dua?
Contohnya:
Durrah telah membeli sebuah buku
cerita, sebatang pensel, dan segulung kad manila.
Jawapan
Untuk ayat di atas, tanda koma
tidak diperlukan sebelum kata
dan kerana ayat tersebut
merupakan ayat majmuk biasa (setara). Walau bagaimanapun, tidak salah sekiranya
tanda koma digunakan kerana tidak menimbulkan perubahan dari segi maknanya dan
ini hanyalah melibatkan gaya penulisan.
Sekiranya ayat majmuk ini terdiri
daripada dua ayat inti setara, tanda koma sebelum dan tidak diperlukan sama
sekali. Contohnya:
(a) Dia membeli buku Tatabahasa
Dewan dan Kamus Pelajar.
(b) Dia suka makan buah rambutan
dan langsat.
Walau bagaimanapun, tanda koma
boleh diletakkan sebelum dan jika pemisah bahagian ayat itu perlu dibuat untuk
mengelakkan kekeliruan makna. Contohnya:
(c)
Setakat ini, kita sudah membina beberapa prosedur dan
tatacara untuk melaksanakan
projek tersebut, dan prosedur yang kita gunakan ini sudah diterima pakai
oleh beberapa buah institusi negara ini.
(d)
Antara buku yang laris jualannya termasuklah Kamus Dewan, Kamus
Pelajar, Pedoman Ejaan dan Sebutan Baku, dan Tatabahasa
Dewan.
3.
Pesalah itu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim
kerana mengedar dadah.
Mengapakah ayat tersebut salah?
Apakah penjelasannya?
Jawapan
Kesalahan ayat tersebut adalah pada kata dijatuhkan. Ayat tersebut
sekiranya diaktifkan akan menjadi:
Hakim menjatuhkan pesalah itu
hukuman gantung sampai mati
kerana mengedar dadah.
Ayat ini bermakna bahawa yang
jatuh ialah pesalah bukannya
hukuman gantung sampai mati.
Sepatutnya, yang jatuh
ialah hukuman
dan pesalah yang menerimanya. Ayat tersebut sepatutnya:
(a)
Pesalah itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah.
(b)
Hukuman gantung sampai mati dijatuhkan oleh hakim kepada pesalah itu kerana
mengedar dadah.
4. (a) Cikgu Marhani mengajarkan Sejarah di
Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman.
(b) Cikgu
Marhani mengajar Sejarah di Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman.
Antara ayat (a) dengan ayat (b),
yang manakah yang betul? Sila berikan penjelasan:
Jawapan
Menurut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM (2002:7),
kata mengajarkan bermakna memberikan sesuatu sebagai pelajaran kepada seseorang.
Kata
mengajar pula (Kamus Dewan, 1994 : 16) bermakna
1.
menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dsb.) kepada orang lain, mendidik,
melatih, memberikan petunjuk-petunjuk kepada;
2.
membaiki kelakuan dengan memberi nasihat dsb., mendidik;
3.
membuat seseorang melakukan sesuatu berdasarkan pengalaman dsb. yang telah
diperolehnya;
4. memarahi (memukul seseorang) supaya jera
(tidak melakukan sesuatu).
Jadi, jika dilihat pada makna, ayat (a)
adalah paling tepat kerana kata mengajar seharusnya diikuti objek hidup
(manusia). Jadi, ayat (b) mengikut makna 1. dan 2. akan memberikan makna Cikgu
Marhani mendidik atau melatih Sejarah, sedangkan Sejarah bukannya manusia (yang
boleh dididik).
5. (a) Kakak menghidangkan rakan-rakan saya
pelbagai masakan
yang lazat.
(b) Kakak menghidangi rakan-rakan saya
pelbagai masakan yang lazat.
Antara ayat (a) dan (b), ayat manakah
yang betul?
Jawapan
Kata menghidangkan menurut Kamus
Dewan (1994:453) bermakna menyajikan atau menyediakan makanan (minuman dll.).
Hal ini bermakna yang dihidangkan ialah makanan.
Jadi, ayat “Ibu menghidangkan rakan-rakan
saya pelbagai masakan yang lazat.” Adalah salah dari segi maknanya kerana yang
dihidangkan ialah pelbagai masakan bukannya rakan-rakan (rakan-rakan menerima
hidangan bukannya sebagai hidangan).
Ayat yang tepat
ialah “Ibu menghidangi rakan-rakan saya pelbagai masakan yang lazat.”
6. Orang
Penan di pedalaman Sarawak suka berpindah-randah dari suatu tempat ke suatu
tempat.
Bolehkah dijelaskan apakah
kesalahan ayat ini?
Jawapan
Kesalahan
ayat di atas terletak pada kata berpindah-randah kerana kata
berpindah-randah sudah pun mengandungi makna dari suatu tempat ke suatu
tempat (berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat).
Jadi, ayat di atas sepatutnya:
Orang
Penan di pedalaman Sarawak suka berpindah dari suatu tempat ke
suatu tempat.
atau,
Orang Penan di
pedalaman Sarawak suka berpindah-randah.
7. Rumah
di lereng bukit itu amat cantik dan amat mahal.
Adakah
betul jika ayat di atas ditulis “Rumah di lereng bukit itu amat cantik dan
mahal”?
Jika salah, apakah alasannya?
Jawapan
Kedua-dua ayat tersebut betul tetapi maknanya berbeza.
“Rumah di lereng bukit itu amat
cantik dan amat mahal” bermakna:
(a) Rumah di lereng bukit itu amat
cantik.
(b) Rumah di lereng bukit itu amat
mahal.
Sedangkan ayat “Rumah di lereng bukit itu amat cantik dan mahal”
bermakna:
(c) Rumah
di lereng bukit itu amat cantik.
(d) Rumah
di lereng bukit itu mahal.
Hal ini bermakna
rumah tersebut hanya mahal, tidak amat mahal.
Rujukan : Pusat rujukan persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka
No comments:
Post a Comment